Nur Ain Hana baru sahaja keluar dari perut kereta. Selalunya, dia tidak akan lewat sampai di asrama. Tetapi memandangkan hari ahad, ramai orang yang pulang ke rumah masing-masing untuk bekerja pada keesokan harinya. Jadi, nak tak nak, sangkut juga lah dengan kesesakan lalu lintas.
"Ain, boleh tak angkat barang ni? Apa yang ibu bekalkan untuk Ain? Nampak macam banyak je?" Kata abah sambil keluarkan barang dari bonet kereta Avanza hijau kesayangan abah. Yalah, adik-beradik dah 6 orang, tambah ibu dengan abah lagi. Kalau nak harapkan saga atau kancil, memang tak muat la untuk satu keluarga.
"Boleh la abah. Ingat anak abah ni tak kuat ke? Hehe.. Nanti akak angkat sendiri ye". Tak nak nampak lemah depan abah. Kuat katanya. Nanti dia juga yang ulang-alik angkat barang yang berat tu.
"Erm.. abah, terima kasih tau susah-payah hantar akak sampai asrama ni. Boleh je kalau akak naik bas tadi. Tak pe, akak tau abah sayang akak kan? Hehe..". Tuturnya sedih. Tapi air mata degil pula nak mengalir kan.
"Apa pula yang susah Ain. Ain kan anak abah. Sedih la tu kan abah nak balik ni". Abah seolah-olah tau isi hati anaknya.
Mak haiii abah ni. Nak buat orang sedih-sedih pula. Nanti tak pasal-pasal, air mata yang malu nak keluar ni jadi tak malu pula. "Yelah bah, abah hati-hati memandu balik. Jangan nak bawa laju-laju pula. Nanti selamat sampai telefon akak tau". Abah dah masuk ke tempat duduk pemandu.
"InsyaAllah. Ain jaga diri baik-baik. Abah balik dulu. Assalamualaikum". Abah mula memandu perlahan.
"Kirim salam kat ibu ye bah. Bye.. Waalaikumussalam". Abah pun berlalu. Akhirnya, air mata tumpah juga setelah ditahan-tahan.
Orang selalu cakap, yang manja itu anak bongsu. Tapi tidak pada Ain. Dialah anak sulung dan dia juga lah yang paling manja.
***
"Assalamualaikum. Wehh, kau bila sampai?. Yelah, selalunya kau lagi lewat dari aku. Nampaknya, macam ada orang dah mula nak bersaing ek.. Haha". Pintu bilik yang kelihatan terbuka sedikit menimbulkan kehairanan pada Ain. Tanpa ditunggu, ketawa mereka pecah.
Nurul Syafikah merupakan rakan sebilik Ain sejak mula mendaftar di IPG. Rumahnya dekat sahaja dari tempat mereka belajar. Sebab itulah, dia suka balik lewat ke asrama. Tak sampai 10 km pun. Rasanya, kalau peraturan IPG membenarkan pelajar tinggal di luar, dia adalah salah seorang daripada mereka yang akan tinggal di rumah dan ulang-alik bila ada kuliah dan program rasmi.
"Haha. Kau ni kalau nak terkejut pun, tak payah la nak buat muka macam tu sangat. Ketawa kononnya, tapi mata merah-merah. Kau baru lepas nangis kan?. Macam la aku tak tahu kau tu. Ni mesti abah kau yang hantar tadi kan?". Ika dah tahu sangat perangai rakan sebiliknya.
Bukan baru sehari, seminggu atau sebulan dia duduk sebilik dengan Ain. Dah tiga tahun. Dia tahu sangat manja Ain pada keluarganya, apatah lagi pada abah. Tapi, semanja-manja Ain, dia tak pernah menyusahkan abah atau ibu tau. Tu yang Ika respect sangat dengan Ain ni.
"Kau tak payah nak perli aku sangat ek. Baik kau pakai tudung sekarang dan tolong aku angkat barang kat bawah. Ibu banyak bekal barang. Tau je la ibu aku kan. Jom. Cepat la..".
"Ish kau ni, sabar sikit boleh tak. Jap, aku pakai tudung". "Haa.. Dah, jom!".
Bermula keluar dari bilik, lepas tu turun anak tangga dan sampai di parkir. Naik tangga balik dan sampai bilik, cerita mereka tidak juga habis. Bagaikan mereka ni bukan rakan sebilik. Begitulah persahabatan mereka, sentiasa bersama walau ke mana sahaja mereka pergi. Bagaikan aur dengan tebing. Tapi kadang-kadang gaduh juga macam anjing dengan kucing. Gaduh manja la katakan. Yelah, mana ada keakraban yang tidak pernah diduga kan.
Selepas mengemas barang, makan malam dan menyelesaikan apa yang patut pada malam itu, mereka pun mula bermanja-manja dengan tilam empuk asrama.
"Esok kelas sampai ke petang kan Ika? Tangan aku ni macam dah kaku nak pegang pen. Lama cuti la katakan. Nak pegang pen kat rumah? Memang tak lah". Suara Ain kedengaran perlahan. Dia mula menguap beberapa kali.
"Yelah Ain. Good night. Esok kejut aku tau kalau kau bangun awal. Jangan lupa set alarm. Nanti subuh gajah pula kita".
Lalu, mata mereka pun berehat mengikut waktunya.
No comments:
Post a Comment