Friday, 23 March 2012

contengan pengganti bicara

Di kamar hati ini, tersimpan seseorang yang amat aku sayangi. Dia terlalu istimewa bagiku, bahkan sehingga aku merasa tidak sanggup untuk kehilangan dia.
Dia adalah insan yang aku temui semasa berada di dalam pelayaran dalam mencari erti hidup yang sebenar. Sebesar apapun salahnya, aku menganggap kecil di mataku dan tidak pernah ku biarkan ia bertakhta menjadi raja mahupun permaisuri di dalam hatiku. Sesakit mana pun hati ini disakitinya, aku cuba untuk bersabar dan bertahan kerana rasa sayang ini mengatasi segalanya.
Namun disebabkan aku dan berpunca daripada aku, semuanya menjadi gelap dan gelita. Tiada lagi gelak tawa, gurau senda seperti dulu. Tiada lagi perkongsian cerita, mahupun suka dan duka seperti yang pernah tercipta dahulu.
Namun, aku ingin dia tahu bahawa aku juga menyesal akan perbuatanku. Tetapi jeritan batinku seolah-olah tidak kedengaran di telinganya. Duniaku kini ku rasa kelam dan suram. Air mata selalu terbazir tiada makna, mengalir tanpa dipinta.
Pertemuan dengannya bukanlah seperti yang aku pinta dan tidak pernah aku rancangkan, namun pengalaman itulah yang menjadikan aku sukar untuk melupakan. Menyayanginya bukanlah atas kehendakku seperti yang aku inginkan, namun perasaan itulah yang membuatkan aku sukar untuk menerima jika ditinggalkan. Dan semua rasa ini dikurniakan olehNya, Maha Pencipta.
Andai saja izrail datang menjemput aku dahulu menghadap Sang Pencipta, ingin aku katakan padanya bahawa aku terlalu menyayanginya dan rasa sayang ini tidak pernah pudar biarpun waktu masih terus berputar dengan setiap keadaan yang berbeza. Ingin saja aku luahkan padanya betapa aku sarat memikul rasa rindu padanya.
Bukan aku ingin memuji-muji dia melebihi sang pencipta, jauh sekali untuk memujanya, kerana yang layak dipuja itu hanyalah Allah. Tetapi perasaan ini adalah kurniaan dariNya, dan biarlah Dia juga yang mengambilnya semula.
Aku bersyukur padaNya kerana masih meminjamkan aku sedikit kekuatan di saat aku hampir tewas dan rebah dengan rasa sedih dan kecewa yang membelenggu diri.
Ya allah, payungi dia di bawah lembayung cintamu agar ada tempat untuk dia berteduh di kala ujianmu tiba tanpa diduga olehnya. Pelihara dia dalam jagaanmu agar ada yang bersama dia di saat dirinya tidak berteman. Tunjukkan dia jalan dan landasan yang lurus andai dia terpesong seketika di dalam mencari apa yang diimpikannya. Kurniakan dia satu hati yang dapat merasakan bahawa ada orang yang menyayangi dia sehingga ke hari ini, walau apa pun yang telah terjadi di dalam hutan yang bernama kehidupan ini.
Ya allah, pinjamkan aku sedikit lagi kekuatan untuk menghadapi hari-hariku di masa akan datang, berikanlah sedikit ketenangan pada hati kecilku ini agar aku dapat merasakan sedikit keindahan dalam ketenangan dan dapat meneruskan langkah dalam mencari erti kebahagiaan.
Duhai si hati kecilku, kesabaran itu akan mengajarmu erti kekuatan. Dari itu, teruslah bersabar agar kekuatan yang kau cari dapat ditemui. Wahai sang peneroka kehidupan, fahamilah… bahawa hati ini sudah terlalu lama bersabar. Mengalirnya air mata ini bukanlah menunjukkan yang si pelakar hati ini lemah tidak bermaya, tetapi kerana dia sudah terlalu lama memendam rasa hati yang sedaya upaya dia sembunyikan.
Bukanlah air mata jika tiada ketabahan, bukanlah ketabahan andai tiada kesakitan, bukanlah ujian jika tidak disertai dengan kesakitan, dan bukanlah kehidupan jika tiada ujian.


:: c pelakar haty ::

No comments:

Post a Comment